Daily Archives: October 23, 2008

Mee Bandung Atuk Abah

Mak Long cukup suka dengan mee bandung Atuk Abah. Rasanya tak ada mee bandung lebih sedap dari mee bandung Atuk Abah. Kalau ada yang paling hampir rasanya pun di Jalan Abdullah Muar tapi Mak Long tak pasti samada ada lagi dijual mee bandung disitu. Masa Mak Long kecik-kecik dulu, atuk abah ada gerai makan dan mee bandung ni adalah makanan kegemaran pelanggan Atuk Abah. Pelanggan Cina terutamanya suka datang waktu lewat malam meminta mee bandung atuk abah.

Rahsia mee bandung atuk abah ni, stok daging dan perencah asasnya kena disediakan terlebih dahulu. Bila dah siap, sejukkan dan digunakan untuk menyediakan setiap pinggan mee bandung. Bayangkan, masa tu kami belum ada blender atau peti sejuk. Dapur kami pun dapur kayu api.  Jadi semua bahan kena kisar sendiri guna mesin kisar pusing dengan tangan kalau tak pun guna lesung batu.  Pggh! Tak terkata pijar dan lenguhnya tangan mengisar dan menumbuk berkati-kati bahan untuk perencah asas mee bandung ni untuk dijual di gerai.

Bahan-bahannya:

Stok Daging:

1.5 kg daging tetel (brisket on the bone)

sup bonjot

halia di ketuk

garam dan lada putih secukup rasa

Perencah Asas:

300 gm udang kering (dikisar)

100 gm cili kering (direndam dan dikisar)

8 biji bawang merah ( dikisar)

2 bili bawang putih (dikisar)

lengkuas (dikisar halus)

buah keras (dikisar halus)

halia (dikisar halus)

gula merah

minyak masak untuk menumis

garam secukup rasa

Mee Bandung:

400 gm mee kuning

2 biji bawang putih dipecah  dan diciincang halus

150 gm udang basah (dibuang kulit, kepala dan benang najisnya)

200 gm sotong basah (disiang dan di hiris nipis)

150 gm kerang (direbus dan dibuang kulit)

daging rebusan (dihiris nipis-nipis)

150 gm sawi hijau (dipotong)

4 keping tauhu (digoreng kemudian dibelah tiga dan di hiris nipis-nipis)

2 biji telur

Bahan hiasan

Daun sadri dimayang halus

Daun bawang dimayang halus

Bawang goreng

1 biji cili hijau dihiris nipis-nipis

1 biji cili merah dihiris nipis-nipis

Untuk hidangan 2 orang

Sediakan stok daging.  Masukkan daging dalam periuk yang dalam. Penuhkan dengan air dan masukkan semua bahan rebusan yang lain. Rebus dengan api perlahan hingga mendidih. Bila dah mendidih, kecilkan api dan renih sehingga daging tertanggal dari tulangnya. Sejukkan. Perisi daging dari tulang, asingkan. Bila dah sejuk hiris nipis untuk digunakan dalam hidangan mee.

Panaskan minyak masak dalam kuali. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia yang telah dikisar. Kacau sehingga layu. Masukkan cili, udang kering, lengkuas, buah keras. Masukkan garam dan gula merah. Gaulkan sehingga sebati. Renihkan sehingga naik minyak.  Kacau selalu agar tak melekat. Bila dah pekat, padamkan api dan sejukkan.

Panaskan minyak masa dalam kuali yang lain. Masukkan bawang putih, perencah asas (satu senduk untuk setiap kepala) dan stok daging (dua senduk untuk setiap kepala). Renihkan. Masukkan udang, daging, kerang dan sotong. Sekarang masukkan tauhu dan sawi. Pecahkan telur dengan  perlahan agar telur kuning tidak pecah.   

Sementara itu, celur mee kuning dalam air mendidih selama 3 minit. Saringkan dan susun dalam pinggan hidangan.  Curahkan kuah mee ke atasnya dan hiaskan dengan bawang goreng, lada hiris, daun bawang dan daun sadri.

ENJOYY!!!!! 😉

7 Comments

Filed under Main Dish