Tag Archives: diabetic care

Memahami Kecanduan Gula

Kecanduan gula adalah satu kondisi yang dialami oleh pesakit diabetes. Bermula dengan kecanduan gula inilah yang membawa kepada penyakit diabetes.  Ramai individu di luar sana yang bukan pengidap diabetes tidak menyedari yang mereka kecanduan gula.  Adakah anda mengalami kecanduan gula?

Perhatikan kalau anda mempunyai satu atau lebih simptom di bawah ini mungkin anda kecanduan gula:

  • makan bila rasa gugup atau nervous
  • selera berlebihan
  • terasa lapar walaupun baru lepas makan
  • jantung berdegup kencang bila terlepas waktu makan
  • rasa pitam bila lambat makan
  • mudah dapat selsema atau demam
  • sukar tidur waktu malam atau tidur tak lena
  • terasa letih bila bangun tidur
  • mudah rasa lelah
  • suka mengantuk diwaktu siang
  • resdung yang berpanjangan

Tidak semestinya seorang yang kecanduan gula hanya ketagih makanan manis sahaja seperti minuman manis, gula-gula, cokelat, biskut dan kek. Kadang-kadang seorang yang kecanduan gula juga suka  makan di tengah malam.

Bagaimana kita boleh jadi kecanduan gula?

Maklong ada terbaca dalam internet yang kecanduan gula menpunyai kesamaan dengan ketagihan heroin. Seperti dadah, kecanduan gula tidak datang serta merta tapi ia berlaku secara perlahan. Ini kerana gula mempunyai kesan kimiawi terhadap  otak dan tubuh kita. Bila kita makan makanan yang mengandungi gula, kesan kimiawi ini akan membuatkan kita terasa happy dan ini menjadikan tubuh kita menjadi bertambah teringin kepada gula.  Kita mula menambahkan gula dalam hampir semua jenis makanan yang kita makan bukan sahaja minuman dan kuih muih tetapi juga termasuklah semua jenis gulai, sayuran, roti, sambal, acar, sos dan kicap. Gula ditambah ke dalam makanan sebagai penambah rasa. Gula menjadi ‘secret ingredient’ dalam hampir semua jenis produk makanan yang dipakejkan samada secara nyata atau tersembunyi.  Macamana pulak gula ni tersembunyi? Apabila ia berselindung di sebalik nama-nama saintifik seperti sucrose, fructose, maltose, lactose, galactose dsbnya.  Tak percaya? Cubalah baca senarai bahan yang terdapat pada label produk makan yang dijual di kedai.

Dalam budaya Melayu pulak, masyarakat kita mengamalkan budaya  yang menggalakkan gula dalam kehidupan seharian. Pernah Maklong cabar keluarga Maklong untuk mengamalkan zero-sugar dalam rumah kerana dalam rumah kami ada ahli keluarga yang diabetes. Mereka jawab, “Nanti apa pulak orang kata kalau orang datang kita hidangkan air tanpa gula?”.  Sepatutnya kita lebih bersikap peduli apa orang kata kerana kesihatan kita, kita yang perlu jaga sendiri bukan orang lain.

Dalam persekitaran seperti inilah maka sedikit demi sedikit kita menjadi bertambah ketagih dan tanpa disedari tubuh kita mula mengalami simptom di atas.

Komplikasi kecanduan gula sangat memudaratkan kepada kesihatan. Antara komplikasi kecanduan gula

  • Berat badan bertambah dan bersamanya semua komplikasi obesiti;
  • kelemahan sistem imuniti
  • kerosakan gigi
  • diabetes bersama komplikasinya seperti hyperglicemia dan hypoglycemia

Bersambung…

Lagi Petua untuk Diabetes

6 Comments

Filed under Tips

Quinoa

Quinoa

Quinoa (disebut keenwa) adalah satu alternatif yang baik untuk menggantikan nasi. Quinoa adalah sejenis bijirin yang berasal dari Amerika Selatan khususnya pergunungan Andes. Ia mempunyai tekstur seperti nasi. Kandungan karbohidratnya lebih rendah dari nasi sementara kandungan protin lebih tinggi dari nasi. Dalam proses penghadaman quinoa melepaskan kandungan karbohidrat secara perlahan ke dalam tubuh menjadikannya sesuai untuk pengidap diabetes.  Tak hairanlah kalau ia digelar superfood oleh pakar pemakananan Barat.

Dalam penyediaan, quinoa perlu dibasuh sehingga air basuhan benar-benar jernih untuk membersihkan saponin yang terdapat di bahagian bijirin kalau tidak ia akan terasa pahit. Seperti beras, quinoa mengembang apabila masak.  Quinoa juga sesuai dihidangkan dengan lauk-pauk Melayu.

Quinoa Pilaf

Bahan-bahannya

1 cawan quinoa

1 sudu besar butter atau minyak sapi

1 camca teh parutan halia

1 cili hijau

1/4  bawang besar dicincang halus

1/2 camca teh serbuk kunyit

1/2 camca teh serbuk ketumbar

1/4 camca teh serbuk kayu manis

1 3/4 cawan air

1/2 cawan kacang pis (frozen)

garam secukup rasa

Hidangan 4 orang

Panaskan minyak sapi dan tumiskan bawang dan kacau selama 4-5 minit. Masukkan halia, cili hijau dan  serbuk kunyit, ketumbar dan kayu manis.  Masukkan quinoa yang telah dicuci bersih dan air. Masukkan garam. Biarkan mendidih sehingga quinoa mengembang dan berekor. Kecilkan api dan renih selama 15 minit. Masukkan kacang pis, kacau dan tutup sehingga semua air telah menyerap ke dalam quinoa.

Maklong hidangan dengan stir fried chicken with soy sauce.

2 Comments

Filed under Diabetic-friendly, Main Dish

Menjaga ahli keluarga yang mengidap diabetes di hospital

Semalam Maklong mendapat mesej dari salah seorang pembaca blog Maklong ni mengenai ahli keluarganya yang terpaksa dirawat di hospital kerana komplikasi diabetes yang menyebabkan kakinya bernanah. Sedih betul Maklong bila dengar kisah seperti ini.

Memanglah tujuan Maklong berkongsi petua di sini semata-mata untuk mengelakkan pesakit diabetes dari sampai ke tahap ini. Sayugia Maklong ingatkan jua yang petua Maklong ini sama sekali tidak bertujuan untuk menggantikan perubatan doktor. Sebaiknya petua Maklong ini diamalkan bersama dengan perubatan doktor supaya ubat doktor tu lebih berkesan dan proses penyembuhan dapat dipercepatkan. Insya Allah kalau diamalkan dengan tekun pesakit akan mulai sembuh dan ubat doktor dapat dikurangkan sedikit demi sedikit. Jadi kalau doktor dah beri ubat tu, makanlah jangan tak makan.

Cumanya kalau pesakit diabetes tu dah terpaksa dirawat di hospital kena awasilah pemakanan yang dihidangkan di hospital. Secara umumnya pemakanan di hospital biasanya melebihkan rendah lemak. Lebih-lebih lagi waktu sarapan, the most important meal of the day, kalau diwad kelas satu atau hospital swasta mungkin istimewa lah sikit tapi kalau di wad kelas tiga kadang-kadang tu roti marjerin dengan air milo dan mungkin telur setengah masak. Ini Maklong sebutkan sepuluh tahun yang lalu ye, kalau dah berubah sekarang Maklong mintak maaf banyak-banyak. Jadi sebaiknya kalau boleh biarlah ada ahli keluarga pesakit tu yang dapat membantu menyediakan makanan tambahan untuk menampung keperluan pesakit semasa di hospital.

Maklong nak kongsi kisah orang kesayangan Maklong yang baru-baru ni juga terpaksa dirawat di hospital. Mula asalnya Maklong agak keberatan untuk bercerita kisah ni di sini sebab ini kisah peribadi tapi bila dapat mesej tu semalam Maklong ubah fikiran dan Maklong harap ia dapat dijadikan teladan untuk kebaikan bersama. Orang kesayangan Maklong tu mengidap diabetes . Bagaimanapun dia masuk hospital bukan kerana komplikasi diabetes tapi kerana penyakit lain yang perawatan dan perubatannya boleh memberi impak secara langsung terhadap penyakit diabetesnya.

Makanan yang disediakan untuk sarapan pagi : roti dengan majerin, cereal dengan susu rendah lemak. Hidangan tengahari sandwic dengan isi yang dipelbagaikan dan makan malam boleh jadi nasi dengan lauk kari atau fish and chips. Selain dari itu pilihan untuk makanan halal walau pun ada disediakan tapi sangat terhad. Jadi Maklong usahakan dengan kerjasama kedua mertua Maklong untuk memastikan yang orang kesayangan Maklong tu sentiasa mempunyai cukup bekalan makanan halal yang sesuai dengan keperluan diabetiknya. Hampir setiap hari kami bekalkan dia dengan telur rebus, keju, peanut butter yang tidak bergula, butter, sosej yang telah dimasak, ayam bakar yang dihiris nipis atau daging bakar yang telah dihiris nipis. Maklong bekalkan jugak sayur-sayur segar seperti salad lettuce, timun dan tomato ceri, buahan segar seperti epal/pic, biskut ryevita yang mempunyai kandungan karbohidrat rendah untuk dimakan bersama butter atau peanut butter. Nasib baiklah dia ada bilik jadi dia boleh simpan makanan tersebut dalam biliknya sendiri. Oleh kerana banyaknya makanan tu kami kena sediakan cooler bag untuknya siap dengan icepack sekali. Selain daritu kami berikan jugak dia berbotol-botol air untuk minuman.

Minggu pertama Ramadan, ubat baru diperkenalkan dan bila Maklong buat kajian sedikit mengenai ubat itu, Makong dapati memang ianya mempunyai impak secara terus terhadap penyakit diabetes. Beberapa kali dia cuba berpuasa tapi gagal kerana terpaksa berbuka disebabkan kesan negatif ubat itu terhadap diabetesnya.

Sepanjang dia berada di hospital, Maklong pastikan yang Maklong hadir dalam sesi konsultansi dengan pakar yang merawatnya bukan sahaja untuk mendapatkan penjelasan tapi jugak untuk memberi pendapat dan maklumbalas terhadap perawatannya. Pakar tersebut taklah sentiasa sependapat dengan Maklong tapi sekurang-kurangnya dia dengar jugak apa Maklong katakan.

Minggu kedua Ramadan doktor pakar menukar preskripsi dan ubat lain pulak diperkenalkan. Alhamdulillah ubat yang akhir ini nampaknya lebih serasi dan dua minggu kemudian orang kesayangan Maklong tu dah boleh balik rumah. Alhamdulillah juga kerana dengan ubat ini dia dapat berpuasa dengan sempurna. Awalnya doktor menjangka yang rawatan hospital tu boleh berlanjutan hingga enam bulan tapi berkat Ramadan Allah keluarkan dia selepas beberapa minggu.

Dalam mengamalkan petua ini, kita pasti akan bertembung dengan orang-orang yang mungkin tidak setuju dengan kita. Kadang-kadang orang itu adalah doktor/ahli perubatan yang merawat pesakit atau kadang-kadang mereka itu adalah teman-teman atau saudara-mara atau ahli keluarga kita dan boleh jadi juga orang itu adalah pesakit itu sendiri.

Jangan putus asa dan jangan mengalah. Banyakkan bersabar, berdoa dan banyakkan bersedekah. Insya Allah, Allah tu Maha Mendengar. Dia yang Empunya penyakit dan Dialah jua yang Empunya penyembuhnya. Kita hanya dapat berusaha. Wallahu a’lam.

Lagi Petua untuk Diabetes

6 Comments

Filed under Tips

Petua Pemakanan Untuk Kencing Manis – Bhg 3

Makanan yang perlu dielakkan sama sekali:

  • Gula – semua jenis
  • semua jenis manisan dan coklat (kecuali coklat masakan yang mengandungi minima 70% coklat asli dalam kuantiti yang rendah)
  • semua jenis makanan yang mengandungi gula derivatif yang mempunyai akhiran -ose seperti glucose, sucrose, lactose, maltose dan banyak lagi.
  • Makanan berkanji seperti pulut, beras (terutama beras siam), gandum, jenis-jenis ubi seperti ubi kentang dan ubi kayu
  • Susu rendah lemak atau susu skim, dan susu pekat manis (Susu cair atau susu segar penuh krim dibolehkan dalam kuantiti yang sedikit)
  • Yoghurt rendah lemak dan yoghurt berperisa (termasuk susu berperisa)
  • Sos cili, sos tomato dan kicap (kecuali kicap jenama Kikkoman kerana jenama ini tidak mengandungi gula)
  • Semua jenis minuman dalam botol/tin, sirap dan skuasy
  • Buahan dalam tin dan jus buah-buahan (buahan dalam bentuk jus mempunyai kandungan gula lebih tinggi dari buahan segar) kecuali jus yang dicairkan – satu bahagian dicampurkan 4 bahagian air.

Makanan yang sesuai dimakan:

  • Semua jenis daging – kambing, lembu
  • jenis burung – ayam, itik, turkey, puyuh, merpati dsbnya
  • Hati, limpa, paru, buah pinggang (mengandungi khasiat vitamin dan mineral yang sesuai untuk tubuh)
  • Sosej dan nuget (bagaimanapun awasi senarai bahan dalam produk di pasaran kerana kebanyakan terdapat bahan tambahan yang perlu dielakkan seperti gula dan bijirin)
  • Semua jenis lemak binatang – tiada had seperti butter dan minyak sapi. Jangan buang lemak daging dalam masakan.
  • Ikan dan makanan laut termasuk yang dikeringkan
  • Telur – tiada had termasuk telur asin (kecuali telur “Omega-3” kerana telur jenis ini telah dihasilkan dari makanan tiruan yang mengandungi hormon tambahan)
  • Minyak kelapa, santan, kerisek, butter, minyak sapi, krim dan yoghurt penuh lemak
  • Keju kecuali cottage cheese. Pastikan anda dapatkan keju yang vegetarian kerana keju yang tidak dilabel vegetarian adalah tidak halal.
  • Herba dan rempah ratus
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan segar bergantung kandungan karbohidrat
  • Tauhu, tempeh dan produk dari soya

Sayur-sayuran yang sesuai

  • Lobak merah
  • Lobak putih
  • Leek
  • Labu air
  • Labu panjang
  • Labu kuning
  • Asparagus
  • Taugeh (termasuk taugeh kacang hitam, taugeh kacang soya, taugeh kacang hijau)
  • Kacang panjang
  • Semua jenis Kobis
  • Bunga kobis
  • Broccoli
  • kacang buncis
  • Kacang tolo
  • Tomato (segar atau dalam tin)
  • semua jenis cili
  • Lada benggala
  • Bayam
  • Kangkung
  • Kailan
  • Semua jenis Sawi
  • Semua jenis cendawan
  • Dedaun salad
  • Dedaun hijau seperti pucuk ubi, pucuk ranti, pucuk labu, pucuk manis
  • Semua jenis ulam herba
  • Bebawang (seperti bawang besar, bawang putih, bawang merah, daun bawang)
  • Kucai
  • Petula
  • Bendi
  • Timun
  • Terung
  • Kelapa termasuk kelapa parut
  • Bangkuang atau sengkuang
  • water chestnut
  • Celery
  • Brussel sprout

Buah-buahan segar yang sesuai

  • Epal
  • Mangga (tidak lebih dari satu)
  • Nanas
  • Jambu batu
  • Betik
  • Peach
  • Strawberry
  • Blueberry
  • limau bali
  • limau nipis
  • limau kasturi
  • Tembikai dan jenis-jenis melon
  • Belimbing
  • Blackberry
  • Raspberry
  • Kiwi
  • Oren
  • Limau mandarin
  • Pear dan buah lai
  • Laichi
  • Avocado
  • Durian (tidak lebih dari 2 ulas)
  • Rambutan (tidak lebih dari 2 biji)

Kekurangan idea untuk menu masakan? Dapatkan inspirasi dari senarai resepi Maklong yang mesra diabetik atau diabetic-friendly dan hidangkannya bersama nasi tiruan.

Petua Pemakanan untuk Kencing Manis – Bhg 1

Petua Pemakanan untuk Kencing Manis – Bhg 2

62 Comments

Filed under Diabetic-friendly, Tips