Monthly Archives: October 2009

Menjaga ahli keluarga yang mengidap diabetes di hospital

Semalam Maklong mendapat mesej dari salah seorang pembaca blog Maklong ni mengenai ahli keluarganya yang terpaksa dirawat di hospital kerana komplikasi diabetes yang menyebabkan kakinya bernanah. Sedih betul Maklong bila dengar kisah seperti ini.

Memanglah tujuan Maklong berkongsi petua di sini semata-mata untuk mengelakkan pesakit diabetes dari sampai ke tahap ini. Sayugia Maklong ingatkan jua yang petua Maklong ini sama sekali tidak bertujuan untuk menggantikan perubatan doktor. Sebaiknya petua Maklong ini diamalkan bersama dengan perubatan doktor supaya ubat doktor tu lebih berkesan dan proses penyembuhan dapat dipercepatkan. Insya Allah kalau diamalkan dengan tekun pesakit akan mulai sembuh dan ubat doktor dapat dikurangkan sedikit demi sedikit. Jadi kalau doktor dah beri ubat tu, makanlah jangan tak makan.

Cumanya kalau pesakit diabetes tu dah terpaksa dirawat di hospital kena awasilah pemakanan yang dihidangkan di hospital. Secara umumnya pemakanan di hospital biasanya melebihkan rendah lemak. Lebih-lebih lagi waktu sarapan, the most important meal of the day, kalau diwad kelas satu atau hospital swasta mungkin istimewa lah sikit tapi kalau di wad kelas tiga kadang-kadang tu roti marjerin dengan air milo dan mungkin telur setengah masak. Ini Maklong sebutkan sepuluh tahun yang lalu ye, kalau dah berubah sekarang Maklong mintak maaf banyak-banyak. Jadi sebaiknya kalau boleh biarlah ada ahli keluarga pesakit tu yang dapat membantu menyediakan makanan tambahan untuk menampung keperluan pesakit semasa di hospital.

Maklong nak kongsi kisah orang kesayangan Maklong yang baru-baru ni juga terpaksa dirawat di hospital. Mula asalnya Maklong agak keberatan untuk bercerita kisah ni di sini sebab ini kisah peribadi tapi bila dapat mesej tu semalam Maklong ubah fikiran dan Maklong harap ia dapat dijadikan teladan untuk kebaikan bersama. Orang kesayangan Maklong tu mengidap diabetes . Bagaimanapun dia masuk hospital bukan kerana komplikasi diabetes tapi kerana penyakit lain yang perawatan dan perubatannya boleh memberi impak secara langsung terhadap penyakit diabetesnya.

Makanan yang disediakan untuk sarapan pagi : roti dengan majerin, cereal dengan susu rendah lemak. Hidangan tengahari sandwic dengan isi yang dipelbagaikan dan makan malam boleh jadi nasi dengan lauk kari atau fish and chips. Selain dari itu pilihan untuk makanan halal walau pun ada disediakan tapi sangat terhad. Jadi Maklong usahakan dengan kerjasama kedua mertua Maklong untuk memastikan yang orang kesayangan Maklong tu sentiasa mempunyai cukup bekalan makanan halal yang sesuai dengan keperluan diabetiknya. Hampir setiap hari kami bekalkan dia dengan telur rebus, keju, peanut butter yang tidak bergula, butter, sosej yang telah dimasak, ayam bakar yang dihiris nipis atau daging bakar yang telah dihiris nipis. Maklong bekalkan jugak sayur-sayur segar seperti salad lettuce, timun dan tomato ceri, buahan segar seperti epal/pic, biskut ryevita yang mempunyai kandungan karbohidrat rendah untuk dimakan bersama butter atau peanut butter. Nasib baiklah dia ada bilik jadi dia boleh simpan makanan tersebut dalam biliknya sendiri. Oleh kerana banyaknya makanan tu kami kena sediakan cooler bag untuknya siap dengan icepack sekali. Selain daritu kami berikan jugak dia berbotol-botol air untuk minuman.

Minggu pertama Ramadan, ubat baru diperkenalkan dan bila Maklong buat kajian sedikit mengenai ubat itu, Makong dapati memang ianya mempunyai impak secara terus terhadap penyakit diabetes. Beberapa kali dia cuba berpuasa tapi gagal kerana terpaksa berbuka disebabkan kesan negatif ubat itu terhadap diabetesnya.

Sepanjang dia berada di hospital, Maklong pastikan yang Maklong hadir dalam sesi konsultansi dengan pakar yang merawatnya bukan sahaja untuk mendapatkan penjelasan tapi jugak untuk memberi pendapat dan maklumbalas terhadap perawatannya. Pakar tersebut taklah sentiasa sependapat dengan Maklong tapi sekurang-kurangnya dia dengar jugak apa Maklong katakan.

Minggu kedua Ramadan doktor pakar menukar preskripsi dan ubat lain pulak diperkenalkan. Alhamdulillah ubat yang akhir ini nampaknya lebih serasi dan dua minggu kemudian orang kesayangan Maklong tu dah boleh balik rumah. Alhamdulillah juga kerana dengan ubat ini dia dapat berpuasa dengan sempurna. Awalnya doktor menjangka yang rawatan hospital tu boleh berlanjutan hingga enam bulan tapi berkat Ramadan Allah keluarkan dia selepas beberapa minggu.

Dalam mengamalkan petua ini, kita pasti akan bertembung dengan orang-orang yang mungkin tidak setuju dengan kita. Kadang-kadang orang itu adalah doktor/ahli perubatan yang merawat pesakit atau kadang-kadang mereka itu adalah teman-teman atau saudara-mara atau ahli keluarga kita dan boleh jadi juga orang itu adalah pesakit itu sendiri.

Jangan putus asa dan jangan mengalah. Banyakkan bersabar, berdoa dan banyakkan bersedekah. Insya Allah, Allah tu Maha Mendengar. Dia yang Empunya penyakit dan Dialah jua yang Empunya penyembuhnya. Kita hanya dapat berusaha. Wallahu a’lam.

Lagi Petua untuk Diabetes

Advertisements

6 Comments

Filed under Tips